Perdana Menteri Malaysia
YAB. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak
Perdana Menteri, YAB.Dato Sri Mohd Najib Tun Razak mahu konsep ‘1Belia 1Malaysia’ diterapkan ke dalam pergerakan belia di negara ini. Beliau berkata konsep 1Malaysia akan menjadi lebih bermakna sekiranya golongan muda turut mengamalkan konsep ‘1Belia 1Malaysia’ itu kerana langkah yang seribu itu bermula dengan yang satu dan Malaysia tidak akan menjadi satu jika belianya tidak berpadu. “Dari itu, terletak di jemala para belia satu amanah sebagai pewaris yang sewajarnya meneruskan perjalanan yang mulia ini dengan memupuk dan menyuburkan perpaduan nasional yang telah dibina, jika tidak segala apa yang kita bangunkan akan hancur dan ranap begitu sahaja,” katanya dalam perutusan yang disiarkan pada skrin di majlis Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh pada 15 Mei 2009 yang lalu.
Perdana Menteri mahu belia sedar bahawa kerukunan yang dicapai selama ini bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ia telah dirintis oleh mereka yang terdahulu dengan segala jerih dan kepayahan. Katanya sebagai golongan yang dilahirkan pasca Merdeka, umur belia adalah paling subur untuk merealisasikan konsep 1Malaysia.
“Ingatlah bahawa di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung, lantaran itu saudara saudari sekelian harus melihat antara satu sama lain dengan pandangan Malaysia. “Dalam kata lain sungguh pun kita terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan suku mahupun keturunan, kita harus insaf bahawa di bumi Malaysia inilah kita dilahirkan, dibumi inilah kita mencipta kehidupan dan dibumi inilah kita bersemadi.
Maka di bumi inilah juga kita wajib menumpahkan baiah, setia, waad dan janji,” kata Najib. Beliau berkata belia adalah penentu rupa wajah Malaysia pada masa depan dengan hakikatnya kejayaan belia adalah kejayaan negara. Menyedari realiti golongan belia sebagai anggota masyarakat yang paling idealistik, Najib mencabar mereka untuk jangan lagi sekadar berpuashati berada di gerigi peristiwa sebaliknya bersama-sama mencipta sejarah.
No comments:
Post a Comment