Sunday, December 19, 2010

FAHAMI KEHENDAK REMAJA

Sumber Berita Harian : 19 Disember 2010

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Najib Razak menggesa masyarakat memahami jiwa, kehendak dan cita rasa remaja serta belia yang kini melalui perubahan ketara berikutan proses urbanisasi, teknologi maklumat dan globalisasi.

Perdana Menteri berkata, golongan remaja dan belia perlu didekatkan dengan pelbagai program positif berdasarkan kehendak mereka dan berpandukan undang-undang supaya transformasi sosial yang sedang dirumus kerajaan mencapai matlamat dan tujuan sebenar.

Remaja dan belia sekarang sedang melalui perubahan besar terutama dengan kemudahan komunikasi teknologi maklumat, justeru, pendekatan lama bersifat memaksa atau memberi label buruk sudah tidak relevan sekarang.

“Saya yakin, jika itu dipraktikkan pemimpin dan masyarakat, semua remaja termasuk yang bermasalah boleh disatukan seterusnya menghindarkan mereka daripada kegiatan tidak bermanfaat,” katanya pada program Himpunan Remaja Terengganu 2010 dan pelancaran Kelab Motor Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat; Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Sambil memuji kejayaan program mengumpul remaja bermotosikal di seluruh Terengganu itu dan menyifatkannya sebagai satu daripada transformasi sosial, Najib berkata, kehadiran 32,000 remaja pada program itu jelas membuktikan remaja dan belia suka kepada acara terbabit seterusnya menggambarkan sokongan mereka kepada kerajaan.
“Kita buatlah program yang boleh membawa mereka bersama dan jangan anggap semua yang kita suka mereka akan suka. Kita tak boleh kata semua mat rempit samseng jalanan, kena faham kenapa (mereka merempit).

“Budaya ini (merempit) hendaklah kita juruskan kepada perlakuan yang baik, ikut undang-undang, jangan menunggang secara berbahaya dan jangan ada ‘hadiah’ istimewa,” kata Najib sambil menambah jika program seperti itu dirancang dan diolah baik, remaja dan belia sekarang boleh diharap untuk menggalas cabaran memacu pembangunan negara.

Beliau turut meluangkan masa melawat rumah warga emas, Esah Mohamed, 93, di Kampung Chabang Tiga, yang menjadi antara penerima bantuan pembaikan rumah dalam program Jelajah One Malaysia (JOM) dikendalikan Pemuda Umno dan menyampaikan bantuan kewangan serta hamper, minum petang bersama serta mengecat dinding rumah warga emas berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Said berkata, kerajaan negeri akan membina sebuah litar lumba tahun depan untuk mencungkil bakat baru seterusnya mengelakkan mereka terbabit kegiatan lumba haram dan mencabar remaja negeri ini yang berbakat menunggang motosikal mendaftar sebagai pelumba profesional dengan kerajaan negeri akan menaja mereka.

“Kita tak mahu mereka sekadar jaguh kampung. Kerajaan negeri bersedia menaja mereka menyertai kejohanan lumba di litar, bukan di jalan raya,” katanya

Oleh Abdul Halim Yusoff dan Azman Mahmood

No comments:

Post a Comment