Thursday, December 23, 2010

Cari punca kenapa peranan belia semakin hilang....




WALAUPUN sambutan Hari Belia telah berlalu, tetapi kesannya masih dianggap tidak begitu efektif. Bilangan belia di negara kita hampir 11 juta,tetapi hanya dua juta sahaja yang bergiat aktif dalam persatuan. Apakah punca serta dimanakah silapnya? Dapatkah belia negara ini menjadi pemangkin pembangunan negara?

Belia adalah golongan yang perlu dididik dan dijaga dengan baik kerana belia adalah tonggak harapan negara. Belia berperanan besar dalam menentu dan mencorakkan perkembangan semasa serta masa depan negara.

Belia yang ada pada hari ini mencerminkan kepimpinan masa depan. Jika kita inginkan negara kita berjaya, perkara utama yang perlu dipastikan adalah belia yang cemerlang dilahirkan pada hari ini. Jika belia yang cemerlang dilahirkan, negara kita akan cemerlang di masa depan. Jika kita lahirkan belia yang rosak akhlak, tidak berjaya, itulah corak masyarakat serta negara kita di masa depan.

Belia tidak seharusnya didedahkan dengan gejala-gejala tidak bermoral seperti rempit, ponteng sekolah, bergaduh, menagih dadah dan sebagainya. Belia perlu didekati dan cuba fahami apa kehendak mereka kerana belia juga mempunyai suara mereka sendiri untuk disampaikan kepada sesetengah pihak.

Selain itu, belia juga berperanan dalam menentukan pembangunan serta keamanan negara kerana belia di negara kita terdiri daripada berbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, dan berbagai lagi. Belia perlu mempunyai sikap bersatu padu di antara kaum kerana aspek utama negara kita aman dan damai adalah kesefahaman serta kerjasama yang padu antara kaum.

Walaupun arena politik negara hari ini sedang bercanggah hebat, tetapi belia adalah golongan yang dapat membaikinya di masa depan kerana mereka yang akan terus menerajui negara. Jadi belia perlu dipupuk dengan semangat patriotik serta kerjasama antara kaum.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan untuk melibatkan belia, namun dapat diihat bahawa kesannya masih tidak begitu baik kerana masih terdapat golongan muda yang merempit, menagih dadah dan berbagai lagi. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan antara aktiviti serta program yang dijalankan kerajaan. Namun, program ini dilihat masih kurang berkesan kerana peserta-peserta dipilih secara rawak dan tidak melibatkan semua golongan belia yang ada.

Selain itu, Rakan Muda serta pelbagai aktiviti lain juga masih lagi gagal menarik minat mereka. Belia akan merasa bosan jika silibus program yang dianjurkan sentiasa tidak berubah, aktiviti yang dijalankan sama seperti yang telah mereka ikuti sebelum ini.

Badan Kerajaan serta bukan Kerajaan (NGO) seharusnya memahami golongan belia ini, barulah dapat menarik minat mereka. Cuba dengan mengadakan program hiburan yang dapat menarik minat mereka, disamping itu diselitkan dengan nilai-nilai murni yang hendak disampaikan.

Disamping itu, cuba libatkan mereka dalam aktiviti sukarelawan yang lebih menarik seperti menjadi sukarelawan membantu mangsa gempa di China, mangsa taufan Nargis, aktiviti untuk golongan belia pergi ke perkampungan orang asli, aktiviti senamrobik serta kesihatan bersama berbagai golongan masyarakat.

Kepentingan-kepentingan aktviti ini pada belia pasti mereka merasa diri mereka telah berbakti kepada masyarakarat, negara dan rasa diri mereka dihargai. Tiada salah kiranya badan-badan tertentu menyediakan sijil penghargaan untuk aktiviti yang mereka sertai.

Selain itu, mereka juga tidak membuang masa dengan gejala yang tidak baik, sebaliknya dapat membina keyakinan diri, memberi kesedaran sivik agar mereka lebih bersyukur serta menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Masalah utama yang dihadapi kini adalah penglibatan belia dalam program-program serta aktivit yang dijalankan. Belia hilang minat untuk melibatkan diri kerana aktiviti yang dijalankan tidak menepati kehendak mereka serta membosankan mereka. Tambahan dalam dunia IT ini, belia lebih minat untuk melayari internet dari melibatkan diri dalam akiviti yang bagi mereka menyusahkan mereka.

Punca utama adalah kerana golongan belia ini tidak didekati. Belia datang dari luar bandar serta bandar. Belia di bandar mungkin sudah terdedah dengan segala program yang dijalankan serta mempunyai ruang untuk mereka dalam masyarakat, tetapi tidak bagi yang tinggal di luar bandar. Badan-badan tertentu perlu mendekati mereka agar komunikasi dua hala dapat dijalankan.

Selain itu, persefahaman juga penting. Kehendak belia harus difahami kerana mereka leih tahu apa yang mereka inginkan. Pendekatan yang perlu digunakan adalah bukan menarik mereka datang kepada kta, sebaliknya kita perlu pergi kepada mereka untuk memahami mereka.

Kini, bukan sahaja dunia menghadapi perubahan yang besar, tetapi belia kita juga turut berubah. Belia kini lebih terbuka, kreatif, inovatif dan berani keluar dari kepompong lama. Tidak semestinya belia yang rosak akhlaknya, tidak boleh dibentuk. Semua ini hanya memerlukan tindakan serta kerjasama, bukan seperti 'hangat-hangat tahi ayam'.
 
SHAHRIL ADZRIN
UiTM SHAH ALAM

No comments:

Post a Comment