Assalamualaikum....
Kali ini aku ingin kongsikan keratan akhbar pada 19 Dis 2010.Utusan Malaysia. Melihat gambar di atas betapa mesranya PM kita bersama remaja berkongsi debaran dan gembira menyaksikan Pusingan Separuh Akhir Kedua Malaysia vs Vietnam di Piala Suzuki AFF. Apa yang lebih menarik jom kita baca berita ini....Kerajaan jadikan remaja rakan kongsi
KUALA TERENGGANU 18 Dis. - Usaha menangani masalah remaja perlu digerakkan dengan kegiatan-kegiatan yang menjadikan kerajaan turut berperanan sebagai 'rakan kongsi' mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu perlu disesuaikan dengan cita rasa remaja masa kini yang sekali gus dapat menarik penglibatan mereka bersama dalam menggerakkan transformasi negara.
Katanya, dalam usaha membawa perubahan besar yang menyeluruh dan komprehensif menuju sebuah negara maju, ia turut menuntut transformasi sosial yang melibatkan remaja sebagai pelengkap.
''Golongan berkenaan yang lazimnya dikaitkan dengan pelbagai gejala sosial termasuk merempit mampu menjadi 'kawan' kepada kerajaan dengan syarat segala aktiviti dirancang dengan baik dan teratur yang menepati cita rasa mereka,'' katanya ketika berucap dalam Himpunan Remaja dan pelancaran Kelab Motosikal Terengganu 2010 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu di Gong Badak. .
Beliau percaya jika segala program serta aktiviti sosial dilaksanakan mengikut perancangan yang betul, golongan belia atau remaja mampu menjadi pelopor kepada perubahan besar negara kelak.
"Kalau boleh, kita ajak mereka untuk menjadi kawan kita, bawa mereka dengan kegiatan yang dirancang dengan baik. Kalau kita jauh dari mereka, kita tidak dapat lenturkan mereka," ujarnya.
Dalam kegiatan itu juga katanya, remaja harus diberi peranan dan perjalanannya haruslah dilakukan dengan cara betul dan ketertiban mengikut kesesuaian agama dan negara.
Program yang diatur bercorak karnival selama dua hari itu dihadiri kira-kira 32,000 remaja dari seluruh negeri.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Kelab Motosikal Terengganu, Saiful Bahri Baharudin.
Sempena pelancaran itu, Perdana Menteri menyerahkan topi keledar dan jaket kepada wakil ahli Kelab Motosikal Terengganu dari setiap kawasan Parlimen.
Najib juga mahu semua pihak yang menggerakkan program membabitkan belia terutamanya yang terlibat dalam gejala merempit supaya menyelami cita rasa dan kecenderungan mereka.
''Bila berdepan dengan golongan belia, kita tidak boleh menggunakan pendekatan masa lalu. Cita rasa, sikap, kecenderungan remaja tidak sama seperti dulu.
''Untuk membela mereka, perlulah kita memahami jiwa mereka, dengan cara ini kita dapat mencapai matlamat dan tujuan sebenar,'' katanya.
Berhubung gejala merempit termasuk di Terengganu, beliau mahukan punca sebenar golongan itu terlibat dalam gejala merempit dikenalpasti kerana ia mungkin berkait dengan kebosanan di rumah dan keinginan untuk bersama kawan-kawan.
''Barulah kita boleh buat program dan bawa mereka bersama-sama kita. Jangan kita kata kita tak suka, mat rempit pun tak suka. Jangan juga kita kata, mat rempit samseng jalan raya," ujar Perdana Menteri.
Beliau turut merujuk kepada fenomena baru di sini bagaimana dianggarkan 5,000 remaja bermotosikal merempit pada Hari Raya Aidiladha yang memperlihatkan bagaimana mudahnya sambutan itu biarpun tanpa perancangan jika kegiatan bersesuaian dengan jiwa mereka.
Dalam ucapannya, Najib mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur serta kerajaan Terengganu yang mengatur perjalanan program ini sehingga dapat mengumpulkan begitu ramai remaja dalam program pertama kali diadakan.
"Apa yang dihasratkan telah menampakkan kejayaan, kita anggap 32,000 belia ini sebagai penyokong dan bakal penyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) atau sekurang-kurangnya menyokong kegiatan untuk mereka," tambah Najib.
No comments:
Post a Comment