Assalammualaikum WBT dan Salam 1 Malaysia
Pada entri kali ini aku berkongsi maklumat bersama kalian artikel tulisan Rosniza Mohd Taha mudah-mudahan dengan beberapa artikel yang saya kongsikan sebelum ini juga membantu kita memahami dan bersama dalam pembangunan belia khususnya.
Pembangunan infrastruktur moden dan canggih yang. dinikmati negara ini tidak membawa makna sekiranya pembangunan modal insan diketepikan. "Dalam konteks dunia global, modal insan bermutu tinggi satu keperluan, bukan lagi kemewahan".
Demikian antara ungkapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Selepas 49 tahun merdeka, kerajaan tetap memberi penekanan kepada pembangunan modal insan bagi memastikan Malaysia terus berdaya saing pada masa depan, khususnya ketika menjadi negara maju menjelang 2020.
Seperti beberapa dasar terdahulu yang dikemukakan Perdana Menteri, iaitu Islam Hadhari dan pelan integriti nasional, pembangunan modal insan dalam RMK-9 juga dirangka supaya bersifat holistik, menyeluruh dan bersepadu. Dengan kata lain, pembangunan modal insan dalam RMK-9 turut memberi tumpuan kepada aspek 'keinsanan' yang terbina menerusi falsafah hidup, agama dan moral. Modal insan diperlukan mempunyai ciri yang memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Ciri-ciri itu terangkum dalam gagasan minda kelas pertama.
Apakah ciri yang mendasari modal insan kelas pertama? Sudah tentulah pendidikan, pengetahuan, dan kemahiran dalam pelbagai bidang. Pembangunan minda kelas pertama memerlukan persekitaran mesra ilmu, prointelektual dan berasaskan pencapaian.
Minda kelas pertama tidak terbentuk dalam persekitaran sinonim dengan budaya hedonisme, ampuisme dan rasuah. Minda kelas pertama tidak bercambah jika ukuran ilmu hanya diasaskan kepada jenis sijil dan tahap kelayakan akademik. Dalam persekitaran merangsang pembangunan minda kelas pertama, ukuran ilmu dan pencapaian ialah kegigihan, iltizam, sumbangan konkrit dan gaya hidup berasaskan kepentingan nilai ilmu.
Justeru, kerajaan menerusi RMK-9 bakal melaksanakan program pembangunan modal insan itu secara bestari, merangkumi pemerolehan ilmu pengetahuan serta kemahiran atau modal intelek yang praktikal. Pendekatan strategik yang bakal digunakan termasuk keupayaan keusahawanan, pengetahuan sains dan teknologi, memiliki sikap,nilai dan etika positif serta progresif menerusi pendidikan dan latihan.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merangkap Ketua Pegawai eksekutif Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, Prof Dr. Shamsuddin Abdul Rahim, berkata pembangunan modal insan penting sebagai pengisian kemerdekaan terutama di kalangan remaja dan belia. "Mencapai kemerdekaan hanyalah permulaan. Bagi memastikan negara terus maju, penekanan terhadap modal insan di kalangan remaja dan belia perlu ditekankan dalam pengisian kemerdekaan kerana merekalah generasi pelapis," kataya. Shamsudin berkata, Pembangunan modal insan di kalangan remaja dan belia perlu diseimbangkan supaya tidak pihak terpinggir. "Kecenderungan kini adalah menumpukan kepada pemulihan golongan belia bermasalah atau meraikan belia cemerlang dengan pelbagai insentif, berbanding usaha memajukan golongan majoriti belia yang mungkin tidak menonjol kerana kurang bimbingan untuk memaksimumkan keupayaan," katanya. Shamsudin berkata, pendekatan paling wajar ke arah merealisasikan kelahiran insan kelas pertama ini ialah pemerolehan ilmu pengetahuan sepanjang hayat.
"Usaha murni ini tentunya perlu bermula pada peringkat awal lagi iaitu seawal sekolah rendah. Pastinya nanti pembaharuan dalam sistem pendidikan negara secara berperingkat-peringkat itu bakal melahirkan insan yang serba boleh lagi berketerampilan. Hal demikian dapat dilakukan apabila sistem pendidikan jangan terlalu menekankan keputusan cemerlang, gemilang dan terbilang dalam peperiksaan.
"Kecemerlangan murid harus dilihat daripada semua aspek mencakupi sahsiah rupa diri hingga kepada pencapaian akademik dan aktiviti kokurikulum khususnya sukan. Bagi maksud ini, memang wajar pula; guru diberi pendedahan dan kursus intensif untuk mendapatkan pendekatan baru bagi menggiatkan bidang berkenaan," katanya.
Beliau berkata, masalah remaja yang terbabit dengan vandalisme, penagihan dadah, salah laku, dan samseng memerlukan penerapan nilai murni dalam kegiatan di luar bilik darjah supaya nanti anak didik ini menjadi warga yang tahu menghormati hak orang lain khususnya ketika di jalan raya. "Yang perlu dilihat ialah pendidikan secara menyeluruh dan lengkap atau
disebut sebagai holistik. Pendidikan harus dilihat tidak semata-mata untuk kepentingan peperiksaan. Penimbaan ilmu secara berterusan pastinya dapat menjana kelahiran modal insan bertaraf minda kelas pertama," katanya.
Minda kelas pertama tidak terbentuk dalam persekitaran sinonim dengan budaya hedonisme, ampuisme dan rasuah. Minda kelas pertama tidak bercambah jika ukuran ilmu hanya diasaskan kepada jenis sijil dan tahap kelayakan akademik. Dalam persekitaran merangsang pembangunan minda kelas pertama, ukuran ilmu dan pencapaian ialah kegigihan, iltizam, sumbangan konkrit dan gaya hidup berasaskan kepentingan nilai ilmu.
Sehubungan itu, inisiatif RMK-9 untuk meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan berkualiti pada semua peringkat perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Inisiatif ini diharap dapat membuka mata dan minda agar lebih proaktif, dinamik dan berpengetahuan untuk melakukan pembaikan dan inovasi, di samping pemantapan asas akhlak dan keinsanan yang kukuh. Inisiatif lain seperti melahirkan institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa juga perlu dirangka dalam perspektif minda kelas pertama.
Sesebuah universiti ternama bukan hanya pada nama, sejarah dan bangunan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan dan peralatan canggih. Dalam membangunkan negara, insan di dalamnya perlu mempunyai kekuatan fizikal, mental dan rohani. Penguasaan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang sains dan teknologi serta kemanusiaan membolehkan Malaysia membina satu tamadun yang disegani di dunia.
Shamsudin berkata, tamadun Malaysia perlu dibangunkan mengikut acuan sendiri dan ia hanya dapat ditampilkan melalui penguasaan sains dan teknologi serta tidak lupa kepada jati diri bangsa sendiri.
"Memperkasa sumber modal insan bakal menyediakan Malaysia dengan satu corak pembangunan berasaskan acuan sendiri yang tidak menolak faedah dari Barat dan Timur. "Bangsa Malaysia perlu berciri global dan glokal. Apabila kita tawan dunia ia turut disertai jati diri bangsa Malaysia yang asli dan utuh, jangan sampai lupa bumi yang dipijak," katanya.
No comments:
Post a Comment