Friday, December 31, 2010

Assalamualaikum dan Salam Tahun Baru 2011

.

            Pertamanya mari kita bersama memanjatkan setinggi kesyukuran kepada yang maha Esa kerana dengan izinNya kita dapat melabuhkan tirai 2010 ini dan diberi lagi kesempatan untuk kita sama-sama membuka tirai dan lembaran baru 2011.

Dikesempatan ini sempena tahun baru 2011 mari kita bersama  khususn...ya golongan belia untuk kita sama-sama  menjadi sesuatu yang terbaik kepada diri, keluarga, bangsa ,Negara dan Agama kita. Mari kita bersama menyumbangkan sesuatu untuk kebaikan kita bersama. Sekilas sikap ulama boleh kita renungkan bagaimana dalam setiap permasalahan yang diperdebatkan tidak ada perpecahan diantara mereka. Jesteru sikap yang sopan santun dan berhikmah yang mereka nampakkan. Mungkin berbeza  dengan sikap kita pada hari ini, perpecahan karena perbezaan pendapat, dan semoga tahun ini  perbezaan pendapat kita adalah sesuatu bermanfaat dan melahirkan satu transformasi kepada pembangunan seimbang terhadap tanah tumpah kita ini.

Mari kita bersama menanam niat yang ikhlas dalam semua perkara yang ingin kita perjuangan. Niat yang baik akan menjadikan kita mendapat bimbingan Allah SWT. Allah berfirman, "Sesungguhnya Allah menyertai orang2 yang bertaqwa dan orang2 yang berbuat kebaikan." (An-Nahl:128). Ayuh kita Mencari yang terbaik dan menerima kebenaran dari siapapun datangnya. Kita dilahirkan pun dalam keadaan ,kekuatan, kemahiran dan sebagainya berlainan atau pun berbeza. Untuk itu marilah kita gunakan kelainan dan perbezaan antara kita untuk kita jelmakan kearah kebaikan.

Disamping itu, untuk tahun baru ini mari kita berlapang dada dalam setiap perbezaan idealogi, pendapat  ataupun sebagainya dengan orang lain namun kita masih saling hormat menghormati. Kita bersedia menghadapi jua keadaan namun janganlah hingga kita menjatuhkan atau mengaibkan orang lain walau ia berbeza dengan kita. Mari kita bersama bersangka baik dan kita bersama tidak tergesa-gesa membuat kesimpulan setiap berita yang kita dengar sebelum kita mendapat kepastian secara sah maklumat yang kita perolehi kerana kita khuatir ia akan menambahkan konflik antara kita dan akhirnya kita semua juga yang akan mengalami kerugian..


Marilah kita bersama berdialog, bermesyuarah ataupun berbincang sesama kita untuk mencari penyelesaian yang terbaik setiap permasalahan yang kita lalui. Bersama kita mengahayati firman Allah S.W.T : " Serulah (manusia) kepada jalan Rabb-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik bantahlah mereka dengan cara yang baik." (an-Nahl:125)Ibnu Katsir Rahimahullah menafsirksan ayat ini,"Jika kalian mempersoalkan mereka, maka lakukan dengan cara yang baik, lemah-lembut dan tutur kata yang sopan."

Bersama kita merealisasikan agar “ Suara Belia Didengari, Isu-Isu Belia Ditangani dan Peranan Belia Diiktiraf”

Friday, December 24, 2010

Jom Ke Masjid siri 1...Masjid Ar-Rahman,Kg Sungai Lada

Majis Bacaan Yasin dan Tahlil Diketuai oleh Imam 1 Masjid Ar-Rahman,Kg. Sungai Lada



Assalamualaikum dan Salam 1 Belia  1 Malaysia...

Alhamdulillah...Pada 23 Disember 2010 inilah program pertama yang dilaksanakan kelolaan sendiri Majlis Belia Labuan sejak Jawatankuasa baru dipilih pada 31/10/10. Sejak pada tarikh itu pelbagai program dilaksanakan oleh pihak Majlis Belia Labuan melalui kerjasama pelbagai Agensi yang ada dilabuan. Jadi Program Jom Ke Masjid adalah program pertama anjuran Majlis Belia Labuan Sendiri.

Antara jemaah belia yang sama-sama hadir
Program ini amat besar maknanya pada barisan kepimpinan MBL khususnya. Program yang dirancang oleh Exco Kepimpinan dan Sahsiah ini berjalan amat lancar dan sambutan  dari kalangan belia amat membanggakan. Melalui ini program ini apa yang cuba disampaikan kepada masyarakat khususnya golongan belia adalah Masjid bukan sekadar pusat ibadah khusus seperti solat dan i'tikaf tetapi peranan masjid adalah lebih luas. Masjid yang suatu ketika dahulu pernah menjadi pusat kebudayaan, muamalat serta berkembangan dakwah Islamiah, adalah pusat aktiviti umat Islam.

Sejak dari zaman Rasulullah S.A.W lagi, kemajuan umat dan gerakan Islam semuanya bermula dari masjid. Masjid telah dijadikan sebagai tempat untuk berkumpul, berbincang dan merancang strategi yang tidak terhad kepada bidang dakwah malah perdagangan, perundangan, penyebaran ilmu serta pelbagai lagi.

"Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, dan menunaikan zakat dan tidak takut pada siapa pun selain pada Allah maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang yang mendapat petunjuk." (At-Taubah: 18) 

Antara pengisian sepanjang program ini ialah Solat Maghrib Berjemaah, Bacaan Yassin,Tahlil,Solat Isyak berjemaah dan sembang-sembang bersama belia...AlHamdulillah semua berjalan lancar dan semoga mendapat keberkaan Allah S.W.T.

Program JOM ke Masjid Seterusnya akan dilaksanakan di Masjid AlMuzakirrullah, Kg. Lubok Temiang....JOM kita ke Masjid Al-Muzakirullah...

Thursday, December 23, 2010

Cari punca kenapa peranan belia semakin hilang....




WALAUPUN sambutan Hari Belia telah berlalu, tetapi kesannya masih dianggap tidak begitu efektif. Bilangan belia di negara kita hampir 11 juta,tetapi hanya dua juta sahaja yang bergiat aktif dalam persatuan. Apakah punca serta dimanakah silapnya? Dapatkah belia negara ini menjadi pemangkin pembangunan negara?

Belia adalah golongan yang perlu dididik dan dijaga dengan baik kerana belia adalah tonggak harapan negara. Belia berperanan besar dalam menentu dan mencorakkan perkembangan semasa serta masa depan negara.

Belia yang ada pada hari ini mencerminkan kepimpinan masa depan. Jika kita inginkan negara kita berjaya, perkara utama yang perlu dipastikan adalah belia yang cemerlang dilahirkan pada hari ini. Jika belia yang cemerlang dilahirkan, negara kita akan cemerlang di masa depan. Jika kita lahirkan belia yang rosak akhlak, tidak berjaya, itulah corak masyarakat serta negara kita di masa depan.

Belia tidak seharusnya didedahkan dengan gejala-gejala tidak bermoral seperti rempit, ponteng sekolah, bergaduh, menagih dadah dan sebagainya. Belia perlu didekati dan cuba fahami apa kehendak mereka kerana belia juga mempunyai suara mereka sendiri untuk disampaikan kepada sesetengah pihak.

Selain itu, belia juga berperanan dalam menentukan pembangunan serta keamanan negara kerana belia di negara kita terdiri daripada berbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, dan berbagai lagi. Belia perlu mempunyai sikap bersatu padu di antara kaum kerana aspek utama negara kita aman dan damai adalah kesefahaman serta kerjasama yang padu antara kaum.

Walaupun arena politik negara hari ini sedang bercanggah hebat, tetapi belia adalah golongan yang dapat membaikinya di masa depan kerana mereka yang akan terus menerajui negara. Jadi belia perlu dipupuk dengan semangat patriotik serta kerjasama antara kaum.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan untuk melibatkan belia, namun dapat diihat bahawa kesannya masih tidak begitu baik kerana masih terdapat golongan muda yang merempit, menagih dadah dan berbagai lagi. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan antara aktiviti serta program yang dijalankan kerajaan. Namun, program ini dilihat masih kurang berkesan kerana peserta-peserta dipilih secara rawak dan tidak melibatkan semua golongan belia yang ada.

Selain itu, Rakan Muda serta pelbagai aktiviti lain juga masih lagi gagal menarik minat mereka. Belia akan merasa bosan jika silibus program yang dianjurkan sentiasa tidak berubah, aktiviti yang dijalankan sama seperti yang telah mereka ikuti sebelum ini.

Badan Kerajaan serta bukan Kerajaan (NGO) seharusnya memahami golongan belia ini, barulah dapat menarik minat mereka. Cuba dengan mengadakan program hiburan yang dapat menarik minat mereka, disamping itu diselitkan dengan nilai-nilai murni yang hendak disampaikan.

Disamping itu, cuba libatkan mereka dalam aktiviti sukarelawan yang lebih menarik seperti menjadi sukarelawan membantu mangsa gempa di China, mangsa taufan Nargis, aktiviti untuk golongan belia pergi ke perkampungan orang asli, aktiviti senamrobik serta kesihatan bersama berbagai golongan masyarakat.

Kepentingan-kepentingan aktviti ini pada belia pasti mereka merasa diri mereka telah berbakti kepada masyarakarat, negara dan rasa diri mereka dihargai. Tiada salah kiranya badan-badan tertentu menyediakan sijil penghargaan untuk aktiviti yang mereka sertai.

Selain itu, mereka juga tidak membuang masa dengan gejala yang tidak baik, sebaliknya dapat membina keyakinan diri, memberi kesedaran sivik agar mereka lebih bersyukur serta menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Masalah utama yang dihadapi kini adalah penglibatan belia dalam program-program serta aktivit yang dijalankan. Belia hilang minat untuk melibatkan diri kerana aktiviti yang dijalankan tidak menepati kehendak mereka serta membosankan mereka. Tambahan dalam dunia IT ini, belia lebih minat untuk melayari internet dari melibatkan diri dalam akiviti yang bagi mereka menyusahkan mereka.

Punca utama adalah kerana golongan belia ini tidak didekati. Belia datang dari luar bandar serta bandar. Belia di bandar mungkin sudah terdedah dengan segala program yang dijalankan serta mempunyai ruang untuk mereka dalam masyarakat, tetapi tidak bagi yang tinggal di luar bandar. Badan-badan tertentu perlu mendekati mereka agar komunikasi dua hala dapat dijalankan.

Selain itu, persefahaman juga penting. Kehendak belia harus difahami kerana mereka leih tahu apa yang mereka inginkan. Pendekatan yang perlu digunakan adalah bukan menarik mereka datang kepada kta, sebaliknya kita perlu pergi kepada mereka untuk memahami mereka.

Kini, bukan sahaja dunia menghadapi perubahan yang besar, tetapi belia kita juga turut berubah. Belia kini lebih terbuka, kreatif, inovatif dan berani keluar dari kepompong lama. Tidak semestinya belia yang rosak akhlaknya, tidak boleh dibentuk. Semua ini hanya memerlukan tindakan serta kerjasama, bukan seperti 'hangat-hangat tahi ayam'.
 
SHAHRIL ADZRIN
UiTM SHAH ALAM

Wednesday, December 22, 2010

Kementerian Belia Dan Sukan Mungkin Dipisahkan?



PETALING JAYA: Majlis Belia Malaysia (MBM) tidak menolak kemungkinan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memisahkan dua fungsi kementerian itu bagi membangunkan golongan belia dan industri sukan pada masa akan datang.

Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, kemungkinan itu boleh berlaku sekiranya peranan dan tanggungjawab kedua-duanya semakin berat dan memerlukan lebih fokus.

“Jika ia dilaksanakan kelak, ia sesuatu perkara yang amat baik bagi mewujudkan pengkhususan dalam memastikan pentadbirannya lebih mantap.

“Bagaimanapun perkara itu masih terlalu awal, ia sekadar kemungkinan. Biarlah kerajaan sendiri membuat keputusan mengenainya demi pembangunan belia dan sukan lebih baik,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Mohamed Maliki berkata, pengasingan fungsi bagi belia dan sukan diibaratkan seperti Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran.

“Kedua-dua kementerian itu mempunyai kaitan dengan pembangunan pendidikan dan penyertaan belia namun diberikan pengkhususan lebih strategik dan fokus,” katanya.

Kemungkinan itu berikutan langkah kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji semula struktur KBS dari segi sumber tenaga sebagai langkah memperkasakan golongan belia di negara ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia pada Selasa yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Mohamed Maliki berkata, keputusan penstrukturan semula KBS itu bertepatan seiring dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan transformasi dalam pentadbiran negara.

Ini katanya, dapat memenuhi kehendak dan hala tuju masyarakat belia serta menunjukkan golongan itu diiktiraf sebagai generasi kepimpinan masa depan.

“Perubahan ini tidak perlu dipersoalkan kerana ia bertujuan untuk menambahbaik fungsi KBS bagi memanfaatkan golongan belia dari masa ke semasa.

“Kita tidak boleh sekadar tertumpu pada kerangka lama tanpa pembaharuan. Penstrukturan semula merupakan langkah tepat mengembangkannya,” katanya.

Beliau berkata, banyak ruang yang boleh dipertingkatkan bagi membangunkan belia dan paling penting adalah sistem penyampaian bagi menjamin golongan itu.

“Antara elemen yang boleh dilihat adalah mengupayakan belia serta menyediakan kemudahan kepada golongan ini menyuarakan pandangan.

“Pada masa yang sama, penyertaan mereka harus diberikan perhatian meskipun kecil kerana KBS bukan sekadar kementerian tetapi hubungan antara belia dan negara. Justeru, setiap penyampaian perlu menepati golongan sasaran,” katanya.

Tambahnya lagi, hasrat itu menepati dengan empat inisiatif yang dikemukakan oleh Makmal Pembangunan Belia seperti menubuhkan Dewan Belia Malaysia yang berfungsi sebagai sebuah Parlimen.

Ini kataya, bagi membolehkan wakil-wakil belia dari semua kawasan Parlimen bermesyuarat untuk memberikan pendapat dan pandangan masing-masing.

“Mungkin ada yang menyifatkan ia sebagai usaha mempolitikkan belia tetapi sebenarnya ia berfungsi lokaliti yang membawa suara belia dari seluruh kawasan.

“Ini terutama kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk di kalangan belia serta memberi ruang kepada mereka yang selama ini tersisih seperti Orang Asli,” katanya.

Selain Dewan Belia Malaysia, tiga inisiatif lain adalah menjadikan Putrajaya sebagai Bandar Belia, penubuhan Pusat Sumber Virtual Belia serta Ikon Belia.

Ulang Tahun Ke tiga perkahwinan ku...

Al-Hamdullillah genap sudah usia perkahwinan ku sejak 22 Disember 2007. Aku bersyukur kehadrat Allah SWT sebab ditemukan jodoh dengan isteriku Nora Abdullah yang sungguh bahagia ini selama ini .Ketika gembira,sedih, senang dan susah masih bersama ku.

''Tiada suatu musibahpun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirmu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya, sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan kepadamu dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri'' (Al-Hadid:22-23)




رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami imam kepada orang-orang yang bertaqwa"

Amin Ya Rabbal Alamin

Tuesday, December 21, 2010

KBS Disusun Semula Bagi Perkasa Belia: Muhyiddin


PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menjalani penjenamaan semula sebagai usaha untuk memperkasakan generasi belia bagi menghadapi cabaran masa depan yang lebih besar, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata sebagai sebuah organisasi yang menerajui aktiviti belia di seluruh negara, kementerian berkenaan perlu disusun semula bagi pembangunan belia.

Sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan yang akan dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk mengkaji struktur kementerian secara keseluruhan.

"Ini akan melibatkan soal kepegawaiannya, sumbernya, struktur kementerian dan peranannya untuk mengkoordinasi dengan pelbagai agensi lain serta bekerja rapat dengan pertubuhan belia di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Belia di sini, Selasa.

Beliau berkata mesyuarat hari ini bersetuju agar Dasar Pembangunan Belia Negara 1997 dikaji semula supaya bersesuaian dengan kehendak semasa belia yang perlu fokus kepada golongan tertentu dalam kelompok belia.

Muhyiddin berkata bahawa pada mesyuarat itu juga, Makmal Pembangunan Belia mengemukakan laporannya dengan mencadangkan beberapa inisiatif untuk memperkasakan belia. Katanya Kementerian Belia dan Sukan telah diminta untuk meneliti cadangan itu. "Mereka telah mencadangkan Malaysian Youth Park, tetapi kabinet telah memutuskan agar Putrajaya menjadi bandar belia yang telah dimulakan pada tahun ini, iaitu Hari Belia pada pertengahan ini, cuma perlu diperkukuhkan lagi," kata Timbalan Perdana Menteri.

Katanya pihak makmal turut mencadangkan penubuhan Dewan Belia Malaysia, yang berperanan sebagai "parlimen" bagi kemudahan belia untuk berbincang dan memberikan pandangan serta pendapat, dan pemilihan tokoh belia negara yang boleh dijadikan ikon.

Muhyiddin berkata antara cadangan lain yang turut diberi perhatian ialah agar generasi muda yang ada dalam sistem persekolahan dilibatkan dengan aktiviti belia dan pendidikan peringkat awal bermula pada umur enam tahun.

Katanya ini kerana banyak negara telah melaksanakan pendidikan peringkat awal bermula pada umur enam tahun, iaitu setahun lebih awal.

Bagaimanapun, kata Timbalan Perdana Menteri, perkara itu masih dalam peringkat kajian kerana ia melibatkan peruntukan yang besar daripada segi penyediaan prasarana, tenaga pengajar dan sebagainya.
Katanya sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan yang diketuai oleh Ketua Pengarah Pelajaran untuk meneliti perkara itu.- BERNAMA

Sunday, December 19, 2010

FAHAMI KEHENDAK REMAJA

Sumber Berita Harian : 19 Disember 2010

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Najib Razak menggesa masyarakat memahami jiwa, kehendak dan cita rasa remaja serta belia yang kini melalui perubahan ketara berikutan proses urbanisasi, teknologi maklumat dan globalisasi.

Perdana Menteri berkata, golongan remaja dan belia perlu didekatkan dengan pelbagai program positif berdasarkan kehendak mereka dan berpandukan undang-undang supaya transformasi sosial yang sedang dirumus kerajaan mencapai matlamat dan tujuan sebenar.

Remaja dan belia sekarang sedang melalui perubahan besar terutama dengan kemudahan komunikasi teknologi maklumat, justeru, pendekatan lama bersifat memaksa atau memberi label buruk sudah tidak relevan sekarang.

“Saya yakin, jika itu dipraktikkan pemimpin dan masyarakat, semua remaja termasuk yang bermasalah boleh disatukan seterusnya menghindarkan mereka daripada kegiatan tidak bermanfaat,” katanya pada program Himpunan Remaja Terengganu 2010 dan pelancaran Kelab Motor Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat; Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Sambil memuji kejayaan program mengumpul remaja bermotosikal di seluruh Terengganu itu dan menyifatkannya sebagai satu daripada transformasi sosial, Najib berkata, kehadiran 32,000 remaja pada program itu jelas membuktikan remaja dan belia suka kepada acara terbabit seterusnya menggambarkan sokongan mereka kepada kerajaan.
“Kita buatlah program yang boleh membawa mereka bersama dan jangan anggap semua yang kita suka mereka akan suka. Kita tak boleh kata semua mat rempit samseng jalanan, kena faham kenapa (mereka merempit).

“Budaya ini (merempit) hendaklah kita juruskan kepada perlakuan yang baik, ikut undang-undang, jangan menunggang secara berbahaya dan jangan ada ‘hadiah’ istimewa,” kata Najib sambil menambah jika program seperti itu dirancang dan diolah baik, remaja dan belia sekarang boleh diharap untuk menggalas cabaran memacu pembangunan negara.

Beliau turut meluangkan masa melawat rumah warga emas, Esah Mohamed, 93, di Kampung Chabang Tiga, yang menjadi antara penerima bantuan pembaikan rumah dalam program Jelajah One Malaysia (JOM) dikendalikan Pemuda Umno dan menyampaikan bantuan kewangan serta hamper, minum petang bersama serta mengecat dinding rumah warga emas berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Said berkata, kerajaan negeri akan membina sebuah litar lumba tahun depan untuk mencungkil bakat baru seterusnya mengelakkan mereka terbabit kegiatan lumba haram dan mencabar remaja negeri ini yang berbakat menunggang motosikal mendaftar sebagai pelumba profesional dengan kerajaan negeri akan menaja mereka.

“Kita tak mahu mereka sekadar jaguh kampung. Kerajaan negeri bersedia menaja mereka menyertai kejohanan lumba di litar, bukan di jalan raya,” katanya

Oleh Abdul Halim Yusoff dan Azman Mahmood

JADIKAN REMAJA RAKAN KONGSI


 Assalamualaikum....

Kali ini aku ingin kongsikan keratan akhbar  pada 19 Dis 2010.Utusan Malaysia. Melihat gambar di atas betapa mesranya PM kita bersama remaja berkongsi debaran dan gembira menyaksikan Pusingan Separuh Akhir Kedua Malaysia vs Vietnam di Piala Suzuki AFF. Apa yang lebih menarik jom kita baca berita ini....Kerajaan jadikan remaja rakan kongsi

KUALA TERENGGANU 18 Dis. - Usaha menangani masalah remaja perlu digerakkan dengan kegiatan-kegiatan yang menjadikan kerajaan turut berperanan sebagai 'rakan kongsi' mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu perlu disesuaikan dengan cita rasa remaja masa kini yang sekali gus dapat menarik penglibatan mereka bersama dalam menggerakkan transformasi negara.

Katanya, dalam usaha membawa perubahan besar yang menyeluruh dan komprehensif menuju sebuah negara maju, ia turut menuntut transformasi sosial yang melibatkan remaja sebagai pelengkap.

''Golongan berkenaan yang lazimnya dikaitkan dengan pelbagai gejala sosial termasuk merempit mampu menjadi 'kawan' kepada kerajaan dengan syarat segala aktiviti dirancang dengan baik dan teratur yang menepati cita rasa mereka,'' katanya ketika berucap dalam Himpunan Remaja dan pelancaran Kelab Motosikal Terengganu 2010 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu di Gong Badak. .

Beliau percaya jika segala program serta aktiviti sosial dilaksanakan mengikut perancangan yang betul, golongan belia atau remaja mampu menjadi pelopor kepada perubahan besar negara kelak.

"Kalau boleh, kita ajak mereka untuk menjadi kawan kita, bawa mereka dengan kegiatan yang dirancang dengan baik. Kalau kita jauh dari mereka, kita tidak dapat lenturkan mereka," ujarnya.

Dalam kegiatan itu juga katanya, remaja harus diberi peranan dan perjalanannya haruslah dilakukan dengan cara betul dan ketertiban mengikut kesesuaian agama dan negara.

Program yang diatur bercorak karnival selama dua hari itu dihadiri kira-kira 32,000 remaja dari seluruh negeri.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Kelab Motosikal Terengganu, Saiful Bahri Baharudin.

Sempena pelancaran itu, Perdana Menteri menyerahkan topi keledar dan jaket kepada wakil ahli Kelab Motosikal Terengganu dari setiap kawasan Parlimen. 

Najib juga mahu semua pihak yang menggerakkan program membabitkan belia terutamanya yang terlibat dalam gejala merempit supaya menyelami cita rasa dan kecenderungan mereka.

''Bila berdepan dengan golongan belia, kita tidak boleh menggunakan pendekatan masa lalu. Cita rasa, sikap, kecenderungan remaja tidak sama seperti dulu.

''Untuk membela mereka, perlulah kita memahami jiwa mereka, dengan cara ini kita dapat mencapai matlamat dan tujuan sebenar,'' katanya.

Berhubung gejala merempit termasuk di Terengganu, beliau mahukan punca sebenar golongan itu terlibat dalam gejala merempit dikenalpasti kerana ia mungkin berkait dengan kebosanan di rumah dan keinginan untuk bersama kawan-kawan.

''Barulah kita boleh buat program dan bawa mereka bersama-sama kita. Jangan kita kata kita tak suka, mat rempit pun tak suka. Jangan juga kita kata, mat rempit samseng jalan raya," ujar Perdana Menteri.

Beliau turut merujuk kepada fenomena baru di sini bagaimana dianggarkan 5,000 remaja bermotosikal merempit pada Hari Raya Aidiladha yang memperlihatkan bagaimana mudahnya sambutan itu biarpun tanpa perancangan jika kegiatan bersesuaian dengan jiwa mereka. 

Dalam ucapannya, Najib mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur serta kerajaan Terengganu yang mengatur perjalanan program ini sehingga dapat mengumpulkan begitu ramai remaja dalam program pertama kali diadakan.

"Apa yang dihasratkan telah menampakkan kejayaan, kita anggap 32,000 belia ini sebagai penyokong dan bakal penyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) atau sekurang-kurangnya menyokong kegiatan untuk mereka," tambah Najib.

Saturday, December 18, 2010

FACEBOOK OH FACEBOOK

3 minggu aku  boleh dikatakan banyak menghabiskan masa bersama laman sosial FB ini . Pagi, petang,  malam dan pagi buta...ia seperti sumber maklumat . Berkongsi cerita, Melihat isu, Melihat berita semuanya berlaku dalam FB. Ianya nya juga boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. ...Kegilaan facebook menjadi sudah menjadi satu trend di Malaysia. Penggunaannya yang popular dikalangan remaja sudah merebak di kalangan warga lebih dewasa serta bawah umur.

Macam-macam kreativiti ada dijadikan berhubung dengan kawan terpisah, berhubung mencari jodoh pun ada...hahaha., mencari income tambahan pun dilakukan dalam FB...dan yang ada juga dijadikan inilah medan untuk menghentam orang dan menyebarkan fitnah..Tapi yang baiknya kalau ia dijadikan sumber ilmu, perkongsian minda yang bernas dan bertatasusila.

Yang lucunya juga bila baca berita, kekadang fikir macam tak masuk akal sungguh , itulah kata-kata yang sempat diluahkan apabila terdapat pasangan keluarga yang bercerai gara-gara facebook. Tidak pula sangka rumah tangga yang bina atas dasar cinta musnah kerana melayari facebook? Apakah sebab perkara ini berlaku?..Tapi realitikan bukan fantasi....

Tapi dalam tempoh ini aku belajar sesuatu disebalik Facebook..masa menonton Tv tidak ada, Bergaul dengan masyarakat di negeri kelahiran kurang, info sukar tapi FB melaporkan segalanya...kekadang bila membaca isu-isu dan berita yang panas tergambar seperti itulah keadaan sebenar walhal mungkin tidak lah seperti itu. Memang betul la kenapa orang muda mudah terpengaruh dengan media ini...Jadi aku rasa sebagai salah seorang pemimpin, Facebook mahu tidak mahu perlu juga diaktifkan...perlu dimasukkan segala maklumat yang tepat dan membantu kearah kearah kebaikan..FB kena dijadikan salah satu elemen penyampaian maklumat yang berkesan...

"BIARKAN DIRI KITA MENGAWAL FB,JANGAN FB MENGAWAL DIRI KITA"

BELIA HARI INI CERMIN MASA DEPAN NEGARA


Nor Hartini Bt. Saari
Pegawai Penyelidik
30/05/2008

"Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku." Itulah kata kata yang lahir daripada Profesor Doktor Yusuf Al-Qardhawi.
Kita boleh katakan bahawa apa yang dimaksudkan oleh beliau ini sebagai generasi muda yang merujuk kepada golongan belia kerana merekalah yang bakal mewarnai corak peradaban bangsa pada masa hadapan.
Nilai kepentingan belia kepada pembangunan negara dapat juga diperhatikan melalui cogankata-cogankata yang sering dikaitkan dengan golongan mereka seperti ‘Belia Tonggak Negara', ‘Belia Harapan Bangsa', ‘Belia Cemerlang dan Negara Gemilang', ‘Belia Hari Ini Pemimpin Hari Esok' dan sebagainya.
Mengikut Dasar Pembangunan Belia dan Akta Pertubuhan Belia serta Pembangunan Belia Malaysia, belia ditakrifkan dalam akta ini sebagai seseorang yang berumur tidak kurang lima belas tahun dan tidak melebihi empat puluh tahun. Sehingga tahun 2005 jumlah belia dianggarkan 11.1 juta atau 42.5% daripada keseluruhan penduduk negara. Memandangkan jumlah golongan belia yang agak besar, maka sumbangan dan tanggungjawab belia juga dilihat begitu besar.
Sesungguhnya, tanggungjawab besar belia pada hari ini adalah untuk menjana pembangunan bangsa, negara dan agama. Pada usia muda ini jugalah dianggap sebagai tempoh waktu yang penting bagi tujuan pembentukan generasi pelapis kerana pada usia ini berlakunya pertumbuhan jasmani, pemikiran, akhlak serta bakat seseorang itu berada pada tahap yang sangat sesuai untuk menyerap sebarang pendekatan, pemikiran serta ilmu pengetahuan.
Maka tidak hairanlah, ada yang mengatakan pada peringkat ini, golongan belia berada dalam tahap paling baik untuk melakukan perancangan dan tindakan yang boleh membantu kemajuan dirinya dan juga ummah.
Namun begitu, apa yang dapat kita lihat dalam suasana semasa, dalam arus kemodenan dan kemajuan ini, golongan belia menghadapi cabaran sangat hebat. Golongan ini bukan sahaja terdedah kepada perkara-perkara yang tidak sihat seperti budaya Hedonisme iaitu yang suka berfoya-foya, dan berhibur dengan keterlaluan dan melalaikan, bahkan mereka seringkali dikaitkan dengan kegiatan penagihan dadah, rempit dan jenayah, ragut, lumba haram dan sebagainya.
Perangkaan yang ditunjukkan sejak tahun 2001 sehingga Mei 2006 mencatatkan 3,182 penunggang motosikal ditahan dan 2,970 daripada mereka yang berusia 16 tahun. Ini tidak termasuk mereka yang meninggal dunia akibat lumba haram. (Berita Harian, 8 September 2006). Berdasarkan kepada maklumat yang dikeluarkan oleh Persatuan Mecegah Dadah Malaysia (Pemadam) pada tahun 2005 sahaja, bilangan penagih dadah di kalangan golongan belia yang berusia antara 16-39 tahun berjumlah 23, 699 orang atau 72.23%.
Mungkin pada hari ini jumlah ini sudah bertambah. Apakah punca permasalahn ini terus berlaku? Menurut Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al Attas, permasalahan golongan ini antaranya berpunca daripada kekeliruan mereka terhadap faham ilmu dan kehilangan adab dalam masyarakat. Persoalannya sekarang, bagaimana untuk mempersiapkan belia ini bagi persediaan untuk memartabatkan dan memperkasakan agama masa akan datang?
Jika dimbas semasa zaman kegemilangan tamadun Islam, antara tokoh belia yang perlu dicontohi ialah Usama Bin Zaid yang ketika itu berusia 18 tahun telah menjadi panglima perang untuk menentang kerajaan Rom di Syam. Begitu juga semasa perkembangan Islam di Mekah sehingga berkembang ke Madinah, golongan muda seperti Saidina Ali Ibni Abi Talib, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf dan ramai lagi para sahabat nabi yang ketika itu menjadi pelopor kepada kebangkitan dan menjadi penggerak dan sentiasa berjuang dan berjihad dalam menegakkan ajaran Allah s.a.w. Kebanyakan mereka pada ketika itu, berusia kurang daripada 40 tahun.
Melihat kepada suasana semasa, bagaimana sejarah lampau ini dapat diulangi semula, jika sebahagaian besar golongan belia tidak mempunyai kesedaran untuk memajukan diri dan ummah? Sehubungan itu, dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai cermin masa hadapan negara, maka golongan belia ini perlu meletakkan diri mereka sebagai penggerak dan pembina tamadun yang unggul, yang dihormati oleh masyarakat dunia.
Justeru itu, mereka perlu memikirkan masa depan agar dapat menghasilkan kesedaran. Bak kata pepatah "Menyesal dahulu pendapatan ,menyesal kemudian tidak berguna." Nama baik dan keperibadian yang tinggi perlu dijaga untuk jaminan masa depan. Oleh itu, golongan belia hari ini perlu menunaikan tanggungjawab dan kewajipan yang boleh menjamin masa depan cemerlang.
Sebenarnya pada usia muda ini adalah waktu yang paling baik untuk menimba ilmu pengetahuan serta kemahiran dan apabila seseorang itu telah mencapai usia 40 tahun, dia dikatakan telah mencapai tahap kematangan. Apabila kematangan itu dicapai maka seseorang itu bolehlah memikul atau menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik. Nabi Muhammad SAW sendiri telah dilantik menjadi rasul ketika baginda berusia 40 tahun.
Seperkara lagi golongan belia juga perlu menekankan kepada akhlak. Akhlak yang baik harus diiringi bersama-sama pegangan agama yang tidak longgar. Akhlak Rasulullah s.a.w perlu dijadikan contoh yang terbaik terutama di kalangan belia. Akhlak baginda Rasulullah s.a.w adalah seumpama al Quran.
Andai akhlak baginda menjadi ikutan, kita dapat melahirkan pemimpin pada hari esok yang berakhlak mulia, berilmu dan mengamalkan amalan kerohanian yang mantap dalam semua hal terutama menguruskan pentadbiran negara.
Walau apapun suasana semasa, kita masih tidak terlambat untuk membangunkan golongan belia hari ini. Usaha memperkasakan ilmu, selain kesedaran golongan belia hari ini terhadap gaya hidup Muslim yang mengamalkan ajaran islami, mampu mengangkat martabat golongan belia.
Dalam pada itu, golongan belia perlu bersedia dalam memajukan diri dan seterusnya dapat memberikan sumbangan yang besar kepada negara. Semoga golongan belia hari ini bersedia untuk menjadi seseorang yang mempunyai jati diri yang kuat dalam usaha menjauhkan diri daripada sebarang amalan dan tindakan yang boleh merosakkan diri, maruah dan melemahkan umat Islam.
Jika persediaan ini disempurnakan dengan baik dan rapi, maka cogankata ‘Belia Hari Ini Cermin Masa Depan Negara' dapat dilihat dan dilaksanakan dengan jayanya.

Friday, December 17, 2010

MODAL INSAN TINGKAT SAINGAN

Assalammualaikum WBT dan Salam 1 Malaysia

Pada entri kali ini aku berkongsi maklumat bersama kalian artikel tulisan  Rosniza Mohd Taha mudah-mudahan dengan beberapa artikel yang saya kongsikan sebelum ini juga membantu kita memahami dan bersama dalam pembangunan belia khususnya.

Pembangunan infrastruktur moden dan canggih yang. dinikmati negara ini tidak membawa makna sekiranya pembangunan modal insan diketepikan. "Dalam konteks dunia global, modal insan bermutu tinggi satu keperluan, bukan lagi kemewahan".

Demikian antara ungkapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Selepas 49 tahun merdeka, kerajaan tetap memberi penekanan kepada pembangunan modal insan bagi memastikan Malaysia terus berdaya saing pada masa depan, khususnya ketika menjadi negara maju menjelang 2020.

Seperti beberapa dasar terdahulu yang dikemukakan Perdana Menteri, iaitu Islam Hadhari dan pelan integriti nasional, pembangunan modal insan dalam RMK-9 juga dirangka supaya bersifat holistik, menyeluruh dan bersepadu. Dengan kata lain, pembangunan modal insan dalam RMK-9 turut memberi tumpuan kepada aspek 'keinsanan' yang terbina menerusi falsafah hidup, agama dan moral. Modal insan diperlukan mempunyai ciri yang memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Ciri-ciri itu terangkum dalam gagasan minda kelas pertama.

Apakah ciri yang mendasari modal insan kelas pertama? Sudah tentulah pendidikan, pengetahuan, dan kemahiran dalam pelbagai bidang. Pembangunan minda kelas pertama memerlukan persekitaran mesra ilmu, prointelektual dan berasaskan pencapaian.

Minda kelas pertama tidak terbentuk dalam persekitaran sinonim dengan budaya hedonisme, ampuisme dan rasuah. Minda kelas pertama tidak bercambah jika ukuran ilmu hanya diasaskan kepada jenis sijil dan tahap kelayakan akademik. Dalam persekitaran merangsang pembangunan minda kelas pertama, ukuran ilmu dan pencapaian ialah kegigihan, iltizam, sumbangan konkrit dan gaya hidup berasaskan kepentingan nilai ilmu.

Justeru, kerajaan menerusi RMK-9 bakal melaksanakan program pembangunan modal insan itu secara bestari, merangkumi pemerolehan ilmu pengetahuan serta kemahiran atau modal intelek yang praktikal. Pendekatan strategik yang bakal digunakan termasuk keupayaan keusahawanan, pengetahuan sains dan teknologi, memiliki sikap,nilai dan etika positif serta progresif menerusi pendidikan dan latihan.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merangkap Ketua Pegawai eksekutif Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, Prof Dr. Shamsuddin Abdul Rahim, berkata pembangunan modal insan penting sebagai pengisian kemerdekaan terutama di kalangan remaja dan belia. "Mencapai kemerdekaan hanyalah permulaan. Bagi memastikan negara terus maju, penekanan terhadap modal insan di kalangan remaja dan belia perlu ditekankan dalam pengisian kemerdekaan kerana merekalah generasi pelapis," kataya. Shamsudin berkata, Pembangunan modal insan di kalangan remaja dan belia perlu diseimbangkan supaya tidak pihak terpinggir. "Kecenderungan kini adalah menumpukan kepada pemulihan golongan belia bermasalah atau meraikan belia cemerlang dengan pelbagai insentif, berbanding usaha memajukan golongan majoriti belia yang mungkin tidak menonjol kerana kurang bimbingan untuk memaksimumkan keupayaan," katanya. Shamsudin berkata, pendekatan paling wajar ke arah merealisasikan kelahiran insan kelas pertama ini ialah pemerolehan ilmu pengetahuan sepanjang hayat.

"Usaha murni ini tentunya perlu bermula pada peringkat awal lagi iaitu seawal sekolah rendah. Pastinya nanti pembaharuan dalam sistem pendidikan negara secara berperingkat-peringkat itu bakal melahirkan insan yang serba boleh lagi berketerampilan. Hal demikian dapat dilakukan apabila sistem pendidikan jangan terlalu menekankan keputusan cemerlang, gemilang dan terbilang dalam peperiksaan.

"Kecemerlangan murid harus dilihat daripada semua aspek mencakupi sahsiah rupa diri hingga kepada pencapaian akademik dan aktiviti kokurikulum khususnya sukan. Bagi maksud ini, memang wajar pula; guru diberi pendedahan dan kursus intensif untuk mendapatkan pendekatan baru bagi menggiatkan bidang berkenaan," katanya.

Beliau berkata, masalah remaja yang terbabit dengan vandalisme, penagihan dadah, salah laku, dan samseng memerlukan penerapan nilai murni dalam kegiatan di luar bilik darjah supaya nanti anak didik ini menjadi warga yang tahu menghormati hak orang lain khususnya ketika di jalan raya. "Yang perlu dilihat ialah pendidikan secara menyeluruh dan lengkap atau
disebut sebagai holistik. Pendidikan harus dilihat tidak semata-mata untuk kepentingan peperiksaan. Penimbaan ilmu secara berterusan pastinya dapat menjana kelahiran modal insan bertaraf minda kelas pertama," katanya.

Minda kelas pertama tidak terbentuk dalam persekitaran sinonim dengan budaya hedonisme, ampuisme dan rasuah. Minda kelas pertama tidak bercambah jika ukuran ilmu hanya diasaskan kepada jenis sijil dan tahap kelayakan akademik. Dalam persekitaran merangsang pembangunan minda kelas pertama, ukuran ilmu dan pencapaian ialah kegigihan, iltizam, sumbangan konkrit dan gaya hidup berasaskan kepentingan nilai ilmu.

Sehubungan itu, inisiatif RMK-9 untuk meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan berkualiti pada semua peringkat perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Inisiatif ini diharap dapat membuka mata dan minda agar lebih proaktif, dinamik dan berpengetahuan untuk melakukan pembaikan dan inovasi, di samping pemantapan asas akhlak dan keinsanan yang kukuh. Inisiatif lain seperti melahirkan institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa juga perlu dirangka dalam perspektif minda kelas pertama.

Sesebuah universiti ternama bukan hanya pada nama, sejarah dan bangunan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan dan peralatan canggih. Dalam membangunkan negara, insan di dalamnya perlu mempunyai kekuatan fizikal, mental dan rohani. Penguasaan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang sains dan teknologi serta kemanusiaan membolehkan Malaysia membina satu tamadun yang disegani di dunia.

Shamsudin berkata, tamadun Malaysia perlu dibangunkan mengikut acuan sendiri dan ia hanya dapat ditampilkan melalui penguasaan sains dan teknologi serta tidak lupa kepada jati diri bangsa sendiri.

"Memperkasa sumber modal insan bakal menyediakan Malaysia dengan satu corak pembangunan berasaskan acuan sendiri yang tidak menolak faedah dari Barat dan Timur. "Bangsa Malaysia perlu berciri global dan glokal. Apabila kita tawan dunia ia turut disertai jati diri bangsa Malaysia yang asli dan utuh, jangan sampai lupa bumi yang dipijak," katanya.

Thursday, December 16, 2010

BELIA BERWAWASAN PENGGERAK KEMAJUAN

Utusan Malaysia – 04 Jun 2009


Oleh NURUL IZZAH SIDEK

KITA sering mendengar bahawa belia merupakan aset yang amat berharga serta tonggak dan kekuatan masa depan negara. Kita juga sedar bahawa belia juga adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat di masa hadapan.

Namun persoalannya adakah belia sendiri memahami akan tanggungjawab dan fungsi mereka terhadap pembangunan dan penggerak kemajuan negara? Adakah zaman muda remaja dan belia negara kita dipenuhi dengan aspirasi untuk menjadi belia yang berwawasan dan proaktif?

Sumbangan belia terhadap kemajuan negara Belia ditakrif sebagai golongan yang berusia di antara 15-40 tahun. Di Malaysia, golongan belia mewakili kira-kira 45 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia. Suatu jumlah yang tidak boleh dipandang remeh dan harus diberikan perhatian oleh semua pihak, terutama sekali dalam usaha pembangunan dan pengurusan belia.

Kamus Dewan mendefinisi perkataan wawasan pula sebagai sesuatu pandangan atau konsepsi berkaitan sesuatu perkara. Orang yang berwawasan boleh dikatakan sebagai orang yang mempunyai visi dan misi serta mempunyai pelan-pelan tindakan dan strategi dalam memajukan diri.

Orang yang berwawasan juga mempunyai prinsip yang teguh dan jati diri yang tinggi dalam membangun potensi diri dan orang lain. Amat menyedihkan apabila golongan belia dan remaja sering dikaitkan dengan fenomena yang kurang baik. Dewasa ini kita disogokkan dengan cerita-cerita negatif yang melanda golongan ini sehinggakan kita sering tertanya-tanya akan puncanya.

Kemajuan dan pembangunan seringkali dijadikan sebagai alasan kepada tindak-tanduk yang kurang bermoral dan telah mendorong kepada perubahan drastik kepada institusi keluarga, masyarakat dan negara.

Kemajuan telah menjadikan taraf hidup semakin meningkat, keperluan keluarga semakin bertambah dan individu semakin bersaing untuk menjadi hebat. Ada yang berjaya menjalani kehidupan dengan lancar, namun ada juga yang tidak dapat menongkah arus yang pesat ini lalu rebah dengan pengaruh yang kurang elok. Pun begitu, Islam tidak menolak kemajuan dan perubahan. Malah, Islam amat menggalakkan umatnya berusaha untuk mempertingkatkan diri dan umat asalkan tidak tercicir daripada landasan syariat.

Justeru, adalah perlu golongan belia ini diasuh, dididik dan dibimbing ke jalan yang benar dan diredai Allah SWT. sehingga mampu menjadi generasi yang boleh diharapkan dan dibanggakan iaitu belia yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia. Adalah lumrah dan fitrah untuk mencari harta dan kesenangan di waktu muda belia kerana itu adalah keperluan hidup. Namun peranan belia hari ini bukan sekadar meningkatkan kerjaya diri dan mencari kesenangan harta, tetapi juga berusaha membangunkan negara ke landasan yang seimbang dan maju dalam acuan kita sendiri. Ketangkasan berfikir dan kesihatan yang sangat optimum di zaman belia harus dimanfaatkan ke jalan yang benar dan berintegriti.

Sesebuah negara yang merdeka memerlukan setiap warganegaranya bersifat patuh dan taat terhadap program-program yang diatur yang memberi manfaat untuk membangunkan negara dalam semua bidang. Kepatuhan terhadap membangunkan kualiti modal insan yang berkualiti menjadi pra syarat kepada pembangunan negara itu sendiri. Tanpa kualiti ilmu dan akhlak yang baik, tidak mungkin acuan pembangunan negara akan berjalan atas landasan yang seimbang.

Belia yang berjiwa kekhalifahan akan sentiasa mempunyai jiwa yang mempunyai kesedaran yang mendalam bahawa pengurusan itu adalah suatu amanah dan dikaitkan dengan ibadah dan barakah.
  peranan belia di zaman Rasulullah, tidak dapat dinafikan bahawa belia menjadi tonggak utama perjuangan Rasulullah. Dalam sejarah perkembangan Islam, golongan muda seperti Saidina Ali Karamallah Wajhah, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf, Ibni Zubair, Ibni Abbas dan ramai lagi para sahabat yang menjadi pelopor kepada suatu kebangkitan dan menjadi penggerak kepada arus
Jiwa kekhalifahan yang ditunjangi dengan jiwa kehambaan yang tinggi akan memerdekakan negara daripada kejahilan dan kemunduran dan ianya bakal membina negara kita ke arah negara yang maju dalam acuan kita sendiri. Acuan sendiri haruslah tidak menolak faktor-faktor luar yang sifatnya bermanfaat dan dalam masa yang sama, faktor keislaman dapat dicemerlangkan.

Oleh itu para belia harus insaf dan sedar bahawa pembangunan potensi diri menjadikan belia berwawasan adalah suatu perkara yang amat penting dalam menjana kemajuan negara. Belia yang berketerampilan dan berwawasan pada dasarnya mempunyai kemahuan yang tinggi yang tidak mampu digugat sebarang kelemahan, sedia berkorban serta memahami prinsip kebenaran, meyakininya dan menghormatinya.

 
Sejarah juga pernah menyaksikan ketangkasan Usamah bin Ziad yang ketika itu berusia 18 tahun memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom. Begitu juga dengan kehebatan Muhammad al-Fateh membuka Kota Istanbul (Konstantinopal) ketika usia beliau 21 tahun.

Oleh itu terdapat beberapa perkara yang boleh diambil perhatian semua pihak agar potensi golongan belia dapat dibangunkan secara menyeluruh dan sistematik. Pertamanya, golongan belia harus dibangun dengan nilai-nilai Islami dan murni. Minda golongan belia dan remaja amat terdedah kepada pengaruh baru. Pendekatan Barat misalnya tidak semuanya selari dengan apa yang diperlukan dalam hidup.

Namun harus diingatkan bahawa Barat tidak harus ditolak secara mutlak, tetapi proses pembaratan harus diwaspadai. Tanpa asas agama dan nilai murni, watak belia dan remaja terutamanya remaja Islam akan mengalami ketirisan.

Keduanya, memperkukuh pendidikan secara integrasi supaya adanya kesepaduan antara ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Mempelajari asas agama adalah suatu kewajipan yang penting, dan kita sedar akan pentingnya menuntut ilmu yang kifayah. Tetapi dalam mendepani arus globalisasi yang semakin menghimpit umat Islam, menuntut ilmu dan memajukan diri telah menjadi suatu kewajipan demi mempertahankan agama dan umat. Pendidikan yang bersepadu yang menggabungkan kepentingan menuntut ilmu ukhrawi dan duniawi adalah amat penting supaya kehidupan umat Islam bertambah lebih baik dan dalam masa yang sama ajaran Islam tidak dipinggirkan.

Seterusnya, pembangunan belia harus dijana melalui pembangunan modal insan yang berkualiti dan seimbang. Ini amat signifikan dalam usaha menjana pembangunan negara bangsa dan cita-cita agama. Program-program yang dianjurkan haruslah melibatkan semua pihak dan didasari dengan objektif yang berguna dan bermanfaat. Badan-badan belia dan pertubuhan remaja wajar diberi peluang yang luas untuk mendedahkan aktiviti mereka kepada umum untuk menarik perhatian golongan remaja dan belia. Kerjasama antara badan-badan pertubuhan juga amat penting supaya potensi golongan belia dan remaja dapat dibimbing dan disalurkan ke jalan yang betul.

Keempat, mengekang pengaruh budaya popular dan pendekatan secara hedonistik. Tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh hedonistik menjadi cabaran kepada gaya dan cara kehidupan pada zaman ini. Media cetak dan elektronik perlu menunjukkan contoh yang baik dan menampilkan laporan yang lebih bersifat membina daripada bersifat memusnah. Rencana-rencana yang memberi inspirasi, bersifat intelektual dan membina minda harus disaji kepada minda golongan belia dan remaja dengan harapan agar ia dapat membina golongan belia yang berwawasan dan berpandangan jauh.

Kelima, melibatkan golongan belia dan remaja dalam bidang keusahawanan dan perniagaan. Bidang keusahawan menjanjikan peluang dan rezeki yang amat luas untuk golongan belia. Selain daripada menjanjikan keuntungan yang tinggi, bidang ini menjana golongan belia supaya berfikiran lebih positif, berwawasan, kreatif, dan cekal. Kemahiran kendiri (soft skills) juga dapat dibangunkan dengan baik. Rasulullah SAW di zaman belianya juga adalah seorang peniaga yang amat handal dan bijak. Justeru, amat wajar belia diberi peluang yang luas dalam bidang ini kerana ia bukan sahaja untuk keuntungan sendiri, juga membantu meningkatkan ekonomi negara dan umat secara seluruhnya.

Kesimpulan Terdapat banyak lagi usaha yang boleh dilakukan dalam pembangunan belia. Namun ia memerlukan tanggungjawab dan usaha semua pihak dalam menjayakannya. Dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai penggerak kemajuan negara, golongan belia perlu meletakkan diri mereka sebagai pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia. Sekiranya golongan ini mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan kearah kebaikan maka akan lahirlah generasi cemerlang dan negara terbilang yang akan menaikkan martabat agama dan kedaulatan negara di tahap yang tertinggi dan terbaik.

Wednesday, December 15, 2010

JANGAN PERLEKEH ORANG MUDA

UTUSAN MALAYSIA – 3 FEBRUARI 2010

Membina modal insan - intelektual, kreatif dan inovatif - bukanlah mudah. Satu daripada langkahnya ialah mewujudkan iklim yang kondusif untuk pembangunan insan bersepadu di pelbagai peringkat seperti sekolah, universiti dan institusi belia.

Ketika melancarkan Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) pada 27 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan bahawa penuntut harus diberikan kebebasan untuk berfikir secara kritikal dan disokong oleh persekitaran yang interaktif. Ini bagi mewujudkan ekosistem yang mengupayakan budaya kreatif dan inovasi yang melibatkan segenap lapisan masyarakat dan bidang.

Majoriti guru, pensyarah dan pengurus belia serta pemimpin sekolah, universiti dan institusi belia komited dengan agenda ini. Bagaimanapun, malangnya, terdapat juga keadaan-keadaan  yang sebaliknya, di mana sesetengah orang muda bukan sahaja tidak disediakan dengan iklim yang kondusif itu, malahan terdapat mereka yang diperlekehkan.

Sesetengah pihak menganggap gejala memperlekeh orang muda jarang berlaku. Tetapi, oleh kerana keunggulan jarang berlaku jika dibandingkan dengan kehambaran, maka, perkara yang jarang berlaku usah dipandang ringan. Sebenarnya, ia dianggap jarang berlaku kerana ia jarang dilaporkan atau dibincangkan dengan terbuka.

Namun, jika dilihat komentar tentang hal ini dalam yang dijangka. Di samping itu, sesetengah orang tidak faham akan makna memperlekeh orang muda, lalu mengatakan yang gejala ini jarang berlaku. Gejala memperlekeh orang muda muncul dalam beberapa bentuk.

Pertama, orang muda dilemparkan dengan kata-kata kesat dan sindiran. Contoh yang berlaku di sekolah ialah, "saya tak peduli awak siapa", "budak kampung", "saya tarik balik restu saya sebagai guru", "saya makan kasut kalau awak lulus" dan "awak berdoalah sajalah". Contoh di universiti ialah, "mahasiswa tidak matang", "mahasiswa masih berhingus", "belum lulus universiti dah nak cakap pasal politik", "sudut pidato pasti berkubur", "awak siapa nak berhujah dengan saya? Saya profesor" dan "aku pegawai, atau engkau pegawai?" Contoh dalam gerakan belia pula ialah, "awak pemimpin masa depan, sekarang ni jangan campur urusan kepimpinan", "kalau bukan wakil rakyat tak mampu memimpin persatuan belia" dan "idealisme tahi kucing".

Kedua, orang muda dikenakan peraturan atau hukuman yang keterlaluan. Terdapat kes pelajar sekolah yang telah pun selesai menjalani hukumannya, tetapi terus tidak dibenarkan mewakilisekolah/rumah dalam kokurikulum atau membuat persembahan pentas atau keluar ke bandar(jika di sekolah berasrama) hinggalah tamat persekolahannya. Ini bermakna beliau dihukum duakali. Ini bertentangan dengan prinsip keadilan yang termaktub dalam Artikel 7 PerlembagaanPersekutuan yang menegah berlakunya "dwi-dakwaan".

Di universiti, terdapat kes mahasiswa yang dianggap bersalah (sebelum diadili), tetapi akibat tidak dapat dibuat pertuduhan kesalahan yang spesifik, maka beliau dihadapkan juga ke lembaga disiplin atas pertuduhan yang tidak munasabah seperti "menjatuhkan nama baik universiti". Justeru, tidak dapat dibayangkan sejauh manakah ketidakadilan yang berlaku sebelum Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda pada 2009.

Dalam gerakan belia, pernah terdapat dua buah badan gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) dinafikan hak peruntukan kewangannya semata-mata kerana berbeza pendirian dengan pemimpin atasan agensi kerajaan yang berkaitan.

Ketiga, bakat orang muda dibunuh. Terdapat pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang mewakili negeri dalam sukan yang kelengkapannya tidak terdapat di sekolah, seperti squash, boling dan renang, yang ibu bapanya bersedia berbelanja sendiri untuk jurulatih dan latihan di luar, kerana memahami yang sekolah tidak mampu menyediakannya. Malangnya, sudahlah sekolah tidak menyediakan kemudahan pengangkutan, dan ibu bapa menyediakannya sendiri, pelajar berkenaan disukarkan pula mendapatkan kelulusan untuk pergi berlatih.

Terdapat idea atau program yang hendak disampaikan atau dilaksanakan oleh mahasiswa dikekang, kerana mahasiswa itu dilabelkan sebagai pembangkang. Lebih dahsyat lagi, idea atau program tersebut diberikan kepada mahasiswa lain untuk melaksanakannya. Dalam kes lain, oleh kerana tidak faham akan kepentingan sesetengah kokurikulum, seperti debat dan bola keranjang, maka, ia kurang disokong.

Terdapat idea daripada pemimpin belia yang tidak diendahkan kerana beliau tidak bergelar, berharta atau berjawatan tinggi. Anehnya, idea itu kemudiannya digunakan oleh pemimpin agensi kerajaan (yang menolak idea tersebut), tetapi tanpa sebarang pengiktirafan kepada pemimpin belia itu.

Keempat, orang muda tidak dibolehkan berbeza pendapat. Jika berbeza pendapat, pelajar tidak diberikan restu, mahasiswa dilabelkan sebagai pembangkang, manakala belia dituduh hendak tunjuk pandai.

Dan kelima, suara orang muda dinafikan. Terdapat pelajar yang telah dipilih oleh persatuannya menjadi ketua, tetapi dipaksa oleh sekolah supaya melepaskan jawatan kerana kononnya prestasi akademiknya buruk. Tetapi, syarat akademik itu tidak wujud ketika pemilihan dibuat, dan pelajar itu tidaklah buruk prestasinya. Lebih kasihan ialah pelajar itu telah pun bekerja keras mengetuai persatuannya untuk satu tempoh masa yang signifikan, termasuk berjaya mengumpulkan sejumlah besar penajaan bagi persatuan.

Terdapat mahasiswa antarabangsa yang telah dipilih menjadi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar sebuah institut pengajian tinggi (IPT), tetapi dipaksa oleh IPT itu supaya melepaskannya kerana kononnya jawatan itu hanya boleh dipegang oleh mahasiswa Malaysia, sedangkan syarat itu tidak wujud.

Seorang Presiden MBM pernah dinafikan haknya berucap seperti yang sepatutnya di Perhimpunan Hari Belia Negara. Tetapi, bukan orang muda sahaja yang berhadapan dengan gejala ini. Ada guru debat yang berjaya lima tahun berturut-turut membawa pasukannya ke pertandingan akhir, dan tiga kali menjadi johan, tetapi, bukan sahaja tidak mendapat sokongan daripada sekolahnya, malahan, lebih teruk lagi, beliau diberikan markah rendah dalam laporan penilaian prestasi tahunankerana kononnya debat tidak termasuk dalam sasaran kerja tahunan.

Ada pensyarah yang menjalankan tugas hal ehwal pelajar (HEP) dengan cemerlang, tetapi tidak mendapat penilaian prestasi yang sewajarnya kerana kerja-kerja HEP tidak diiktiraf oleh ketuanya. Ada pegawai belia yang begitu komited, yang sanggup bekerja tanpa mengira masa dan tenaga, tetapi tercicir dalam pengiktirafan kepada pegawai lain yang pandai mengampu atau mempunyai talian dengan orang besar.

Gejala buruk ini mesti dihentikan segera. Oleh kerana ia berlaku di peringkat akar umbi, maka, Menteri dan pegawai tinggi sahaja tidak mampu menanganinya. Ia memerlukan keberanian sosial setiap seorang daripada kita untuk merubahnya.

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

Tuesday, December 14, 2010

“TERAP KONSEP 1MALAYSIA DALAM BELIA”

Perdana Menteri Malaysia

YAB. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak

Perdana Menteri, YAB.Dato Sri Mohd Najib Tun Razak mahu konsep ‘1Belia 1Malaysia’ diterapkan ke dalam pergerakan belia di negara ini. Beliau berkata konsep 1Malaysia akan menjadi lebih bermakna sekiranya golongan muda turut mengamalkan konsep ‘1Belia 1Malaysia’ itu kerana langkah yang seribu itu bermula dengan yang satu dan Malaysia tidak akan menjadi satu jika belianya tidak berpadu. “Dari itu, terletak di jemala para belia satu amanah sebagai pewaris yang sewajarnya meneruskan perjalanan yang mulia ini dengan memupuk dan menyuburkan perpaduan nasional yang telah dibina, jika tidak segala apa yang kita bangunkan akan hancur dan ranap begitu sahaja,” katanya dalam perutusan yang disiarkan pada skrin di majlis Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh pada 15 Mei 2009 yang lalu.

Perdana Menteri mahu belia sedar bahawa kerukunan yang dicapai selama ini bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ia telah dirintis oleh mereka yang terdahulu dengan segala jerih dan kepayahan. Katanya sebagai golongan yang dilahirkan pasca Merdeka, umur belia adalah paling subur untuk merealisasikan konsep 1Malaysia.

“Ingatlah bahawa di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung, lantaran itu saudara saudari sekelian harus melihat antara satu sama lain dengan pandangan Malaysia. “Dalam kata lain sungguh pun kita terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan suku mahupun keturunan, kita harus insaf bahawa di bumi Malaysia inilah kita dilahirkan, dibumi inilah kita mencipta kehidupan dan dibumi inilah kita bersemadi.

Maka di bumi inilah juga kita wajib menumpahkan baiah, setia, waad dan janji,” kata Najib. Beliau berkata belia adalah penentu rupa wajah Malaysia pada masa depan dengan hakikatnya kejayaan belia adalah kejayaan negara. Menyedari realiti golongan belia sebagai anggota masyarakat yang paling idealistik, Najib mencabar mereka untuk jangan lagi sekadar berpuashati berada di gerigi peristiwa sebaliknya bersama-sama mencipta sejarah.